Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujurat ayat 13)

Wednesday, February 3, 2010

Perlunya Tarbiyah

PERLUNYA TARBIYAH SIASI UNTUK AHLI PAS.

Tidak syak lagi dengan perkembangan terkini yang berlaku di dalam negara ini, termasuk isu ‘nama Allah’ yang sedang hangat diperdebatkan sekarang ini mengundang PAS supaya memulakan suatu langkah penting untuk pendukungnya dan juga, kiranya, untuk umat Islam umumnya.

Langkah penting yang amat segera diperlukan, ialah mengadakan tarbiyah siasai atau kursus politik ataupun wacana politik untuk ahlinya, di mana para naqib dan naqibah yang memiliki ilmu dalam bidang syiasah syariah dan real politic masa kini menyampaikan kursus dan perbincangan mengenai isu yang berbangkit.

Inisiatif wacana politik ini boleh saja di bawah Lajnah Politik atau Lajnah Tarbiyah ataupun oleh Lajnah Penerangan sendiri, ataupun kerjasama di antara lajnah tersebut.

Program ini, seperti juga dengan program usrah biasa, perlu diadakan sekerap mungkin dan diadakan secara meluas, disertaikan oleh pendukung PAS semua peringkat. Pelbagai peringkat kepimpinan yang merasajan, atau dirasakan, belum lagi memahami secara mendalam interaksi real politic tentu saja wajar menyertai wacana ini, bahkan boleh memberikan pandangan.

Para tokoh pemimpin PAS yang ternyata sudah banyak menulis, termasuk melalui blog sendiri dan telah menyampaikan pandangan di pelbagai seminar dalaman dan luaran selama ini seperti Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Dr. Dzulkifly Ahmad, Ir. Khalid Samad, Hanifah Maydin, Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Ahmad Awang dan lain-lain.

Demikian juga dari kalangan ulama PAS sendiri memunyai ramai yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang, bukan saja fikah, uuludin tetapi juga syiasah syariah. Mereka ini wajar diikutsertakan dalam wacana ini untuk memberikan pandangan justru pandangan mereka juga sangat penting. Sementara para tokoh yang lain seperti Dr. Muhamad Nur Manuty, Prof. Emiritus Othman Bakar, Dr. Asri Zainal Abidin dan lain-lain boleh diundang sama memberikan pandangan di mana para naqib dan naqibah menyampaikan muqaddimah dan memimpin wacana tersebut.

Apabila ahli PAS sudah benar-benar memahami pelbagai isu yang tercetus dalam masyarakat dan mampu mengupasnya secara matang maka sudah tentu pendukung PAS akan mampu berhujah dengan pihak lain secara ilmu dan rasional, di samping menyampaikan risalah dakwah yang dituntut secara wajib kepada pendukung parti. Ini berbentuk pengisian dalaman yang sangat penting.

Di dalam wacana yang dicadangkan itu, bolehlah dibincangkan pelbagai isu yang berbangkit, seperti isu nama Allah, toleransi beragama, isu bahaya perkauman sempit, sampai di mana manusia boleh melsaksanakan hak asasinya menurut Islam dan perihal demokrasi dengan segala implikasinya menurut pandangan Islam.

Ini sebenarnya adalah isu lama dan baru yang tidak habis-habis dibahaskan oleh pelbagai pihak dan kini isu tersebut masih berligar di dalam kehidupan masyarakat.

Kursus wacana politik semasa seperti ini bukan perkara baru di dalam PAS. Ia telah lama diadakan, terutama di Kelantan lama dulu. Pemimpin PAS seperti Almarhum Haji Yusuf Rawa Ustaz Amaludin Darus, Ustaz Khaidir Khatib, Ustaz Baharudin Latif, Dr. Sanusi Daeng Mariuk dan ramai lagi adalah para tokoh yang berterusan menyampaikan kursus seperti ini kepada pendukung PAS.

Saya merasa benar-benar terpanggil untuk mencadangkan program ini kepada PAS justru terdapat pelbagai kekeliruan di kalangan sesetengah umat Islam sendiri mengenai pelbagai isu yang timbul. Ini semua boleh dirongkaikan dalam wanaca yang akan diadakan.

Wacana ini bukan saja perlu diadakan di peringkat kawasan, negeri bahkan di peringkat pusat. Malah ketiga-tiga dewan yang ada di dalam PAS itu sendiri wajar menyusun program tersebut. PAS sendiri sebagai gerakan Islam dan parti politik yang mengguna-pakai sistem demokrasi dan sedang berinteraksi pula dengan real politic secara aktif, sudah sewajarnya mempastikan bahawa pendukungnya memiliki ilmu dan kebijaksanaan tahap tinggi untuk melaksanakan perjuangannya. Ilmu dan kebijaksanaan, kata ideolog Iran terkenal, Dr. Ali Syariati, adalah ‘dua elemen berbeza di dalam satu tubuh’. Apalah ertinya ilmu, katanya, tanpa kebijaksanaan, sementara kebijakanaan tanpa ilmu tidak membawa seseorang ke mana-mana.

Tidak syak lagi pendukung PAS sekarang ini berada dalam suasana baru yang sangat mencabar ketika PAS hadir di tengah-tengah simpang siur politik sekular dengan sistem komunikasi tercanggih yang meruntuhkan semua tembok pemisah, dengan dunia siber yang menghantar kita ke gerbang langit terbuka dengan membekalkan segala informasi.

Justeru pendukung PAS bukan saja mesti dilengkapkan dengan kejelasan matlamat perjuangan, keikhlasan, istiqamah seperti apa yang telah dibekalkan di dalam usrahnya selama ini, tetapi juga mestilah dilengkapkan dengan ilmu politik terkini, pemahaman mendalam dan kebijaksanaan serta menguasai keadaan supaya mampu mendepani cabaran yang ada.

Sementara menunggu program tarbiyah siasi ini diadakan, wajar kiranya PAS mengubahsuai lebih dulu atau menambah satu slot baru di dalam program tarbiyah yang ada sekarang, iaitu penerangan mendalam mengenai isu politik semasa supaya para ahli dapat benar-benar menghadamkannya dan kemudian mampu berwacana dengan masyarakat luar PAS, termasuk yang bukan Islam.

Dengan perkembangan pelbagai isu terkini sekarang, nyatalah di kalangan bukan Islam, malah di kalangan umat Islam sendiri, memerlukan pemahaman jelas, umpamanya mengenai isu, umpamanya, nama Allah, isu hak asasi di dalam Islam, isu demokrasi dan Islam, keadilan yang dipancarkan di dalam tasawuur Islam dan lain-lain.

Justru pendukung PAS semua peringkat wajar dibekalkan dengan ilmu dan pemahaman mendalam dari perspektif Islam mengenai isu ini supaya mereka dapat menjelaskannya di lapangan. Inilah tuntutan mendesak perlunya diadakan kursus politik atau tarbiyah siasi diadakan segera.

oleh: Abdul Syukur Harun

Muslimat Pas TAPAH

No comments:

Photobucket